JAKARTA, 19 Okt — Kementerian Luar Indonesia dan Kementerian Luar Malaysia bersepakat untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 daripada kedua-dua negara.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, negara ini dan Malaysia bersetuju bahawa semua vaksin Covid-19 yang menerima kelulusan penggunaan kecemasan daripada Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO) adalah diiktiraf di kedua-dua negara.

“Tidak boleh ada diskriminasi dan sehubungan itu, penting untuk Malaysia dan Indonesia untuk membuat persetujuan bersama mengenai sijil vaksinasi Covid-19.

“Persetujuan ini secara tidak langsung memudahkan urusan di antara kedua-dua negara dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan,” katanya kepada Kompas.com.

Retno berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya selepas mengadakan pertemuan bilateral dengan Datuk Saifuddin Abdullah semalam.

Selain itu, Retno menyatakan kedua-dua negara juga bersetuju untuk membangunkan makmal ujian saringan Covid-19 bagi mengurangkan penyalahgunaan maklumat serta risiko jangkitan koronavirus.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia berhubung pemberian vaksin kepada rakyat Indonesia yang bekerja di negara itu.

Jelas Retno, Indonesia dan Malaysia turut komited untuk menjalin kerjasama dalam usaha mengatasi pandemik Covid-19.

Katanya, intipati kerjasama dan perbincangan itu akan menjadi agenda penting dalam Sidang Kemuncak Asean pada hujung bulan ini.