KOTA KINABALU, 21 Okt — Kerajaan Sabah mengagihkan RM1.2 juta kepada 670 pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerusi Program Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI).

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata inisiatif BUDI adalah antara usaha kerajaan Sabah untuk membantu pelajar kumpulan B40 meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda serta diploma sekali gus memastikan tiada tercicir daripada mendapatkan pendidikan terbaik dan berkualiti.

Beliau berkata Yayasan Sabah menerusi BUDI menyalurkan bantuan sekali bayar RM2,000 kepada 479 pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda manakala RM1,500 seorang kepada 168 pelajar Diploma serta 23 pelajar di peringkat persediaan.

“Selain inisiatif BUDI, kerajaan negeri turut memberi Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) bagi pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia sebanyak RM200 seorang.

“Inisiatif lain turut dilaksanakan ialah pengagihan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar tidak berkemampuan dan bakal menduduki peperiksaan penting,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Penajaan Pendidikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan inisiatif BUDI kepada pelajar B40 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Ketua Pengarah JPA Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Dr. Zulkapli Mohamed dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufek Yap.

Hajiji berkata sebanyak 1,079 daripada 5,000 permohonan pelajar diluluskan menerusi bantuan BUDI setakat ini melibatkan peruntukan RM10 juta; manakala bagi bantuan BAKTI pula, sebanyak RM7.6 juta diperuntukkan yang memberi manfaat kepada kira-kira 37,835 pelajar.

”Bantuan BAIK, sebanyak 7,714 buah komputer riba diagih kepada pelajar setakat ini dan selebihnya iaitu 2,272 lagi akan diagih sebelum hujung bulan ini…kerajaan Sabah akan terus prihatin terhadap bebanan kos pendidikan ditanggung ibu bapa kurang berkemampuan,” katanya.

Sementara itu,Hajiji berkata kerajaan Persekutuan menerusi JPA juga memperuntukkan lebih RM40 juta di bawah Program Pemberian Dermasiswa kepada 670 pelajar Bumiputera Sabah yang memperoleh keputusan SPM cemerlang untuk melanjutkan pelbagai bidang pengajian di IPT dalam dan luar negara.

Semua pelajar terpilih menerima manfaat itu diharap akan dapat menggunakan peluang tersebut dengan belajar bersungguh-sungguh dalam mencapai keputusan cemerlang sekali gus membina masa depan lebih baik, katanya.