KUALA LUMPUR, 21 Okt — Projek terowong tren bawah tanah yang menghubung Malaysia dan Indonesia melalui Melaka dan Sumatera memerlukan kajian menyeluruh dan kos faedah yang jitu sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, cadangan projek berkenaan memerlukan rundingan kedua-dua negara mengenai kebolehlaksanaan projek infrastruktur pengangkutan yang seharusnya dilaksanakan dengan strategik dan terancang.

“Kerajaan mengalu-alukan usaha yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran kedua-dua negara kerana jalinan pengangkutan ini berpotensi memberi dimensi baharu dalam dinamik ekonomi, pelancongan dan interaksi antara rakyat kedua-dua negara.

“Projek berskala mega seumpama ini seperti yang telah dicadangkan beberapa kali sebelum ini semestinya datang dengan cabaran-cabaran tersendiri dari sudut keselamatan, sosioekonomi negara atau alam sekitar,” katanya di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Mesyuarat Pertama Dewan Negara, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas.

Beliau menjawab cadangan diajukan oleh Senator Muhammad Zahid Md. Arip (Bersatu) supaya kerajaan mempertimbangkan projek terowong tren bawah tanah menghubungkan kedua-dua negara dan seterusnya membangkitkan cadangan tersebut untuk dibincang antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Dalam pada itu, menjawab cadangan berasingan dari Senator Nuridah Mohd. Salleh (Pas), mengenai pembangunan semula Afghanistan, kata Kamarudin, kerajaan menawarkan pengalaman dan kepakaran negara dalam sektor ekonomi digital, industri halal, pendidikan, pembangunan dan pengurusan lapangan, pembangunan dan perancangan bandar dan perkhidmatan.

Antara lain beliau berkata, Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawat termasuk Menteri Luar Negeri di Turki, Qatar dan Indonesia serta Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tentang perkembangan di negara itu.

Jelasnya, Malaysia juga telah memberikan sokongan dan bantuan pembangunan melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP) dan Program Latihan Negara Ketiga (TCTP).

“Malaysia juga menghulurkan bantuan kemanusiaan melalui penempatan Pasukan Perubatan Malaysia (MASMED) pada 2001 dan Angkatan Bersenjata Malaysia (MAF) pada 2010-2013 yang memberikan perkhidmatan perubatan, pergigian serta program pembinaan kapasiti penduduk awam tempatan,” katanya.