PUCHONG, 22 Okt — Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah meluluskan pembinaan bilik sejuk besar di beberapa lokasi untuk penyimpanan stok penimbal bekalan ikan secara besar-besaran.

Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata biarpun bekalan ikan dan sayuran tidak pernah putus sejak pandemik COVID-19, penyimpanan stok tersebut adalah sebagai usaha menyokong sekuriti makanan negara.

Menurutnya, agensi itu telah meluluskan pembinaan bilik sejuk besar di Kuala Besut, Terengganu yang mampu memuatkan 500 tan metrik ikan, selain di Kuantan, Pahang (400 tan metrik), serta beberapa kawasan lain di Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak.

“Pembinaan bilik sejuk besar berkenaan juga untuk memastikan sumber protein sentiasa ada dan boleh digunakan pengguna termasuk ketika musim tengkujuh,” katanya pada sidang media selepas program prapelancaran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM, di sini hari ini.

Selain itu pihaknya turut berharap agar Bajet 2022 yang dijadual dibentangkan pada 29 Okt ini, akan memberi perhatian khusus pada sekuriti makanan, di samping peruntukan tambahan untuk golongan nelayan.

“Bagi persediaan masa hadapan, kerajaan perlu rancangan teliti (sekuriti makanan) dan dimohon peruntukan untuk menambah bilik sejuk ini demi keperluan sekuriti makanan sampai di tahap betul-betul terjamin,” katanya.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata LKIM komited membantu nelayan sejak penubuhan agensi itu dengan pelbagai bantuan, antaranya bantuan peralatan penangkapan, bantuan bencana dan pembinaan rumah nelayan.

“LKIM juga dalam perancangan membangunkan platform memasarkan ikan secara dalam talian iaitu ‘MySeafood’ yang dijangka dilancarkan tahun hadapan dan kajian mengenainya sedang dijalankan,” tambahnya.