JOHOR BAHRU, 22 Okt — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sentiasa berwaspada serta peka terhadap aktiviti import dan eksport produk pertanian, bagi memastikan biosekuriti negara terjamin.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata justeru itu, MAQIS akan terus mempertingkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara, bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara, dapat dibendung serta dikawal.

Katanya, MAQIS juga sentiasa disarankan untuk mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan bagi memudahcara perdagangan pertanian di pintu masuk utama negara, yang sekali gus membantu perkembangan ekonomi negara.

“MAQIS juga telah menambah baik kaedah pemantauan pengimportan dan pengeksportan, dengan memperkukuh prosedur operasi standard serta melaksanakan kawalan kemasukan hasilan pertanian bagi tujuan persinggahan dan pemindahan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi melihat sendiri operasi import dan eksport hasil pertanian negara ke Singapura.

Ronald berkata setakat Januari sehingga Oktober tahun ini sahaja, hampir dua juta tan metrik barangan pertanian bernilai RM3.48 bilion telah dieksport ke republik itu menerusi BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar dekat Gelang Patah.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lepas juga tidak memberikan impak secara langsung terhadap eksport produk pertanian ke negara itu, sebaliknya data transaksi eksport ke republik itu daripada pintu masuk BSI sahaja menunjukkan peningkatan kepada 125,151 transaksi pada tahun 2020, daripada 56,610 transaksi pada tahun 2019.

“Peningkatan yang direkodkan itu adalah sebanyak 121 peratus, dengan kuantiti barangan eksport pertanian meningkat daripada 279,218 tan metrik kepada 364,012 tan metrik. Trend kenaikan eksport yang sama dijangka berlaku tahun ini, yang mana transaksi sehingga Oktober telah pun mencecah kepada 393,189 tan metrik,” katanya.

Selain itu, MAQIS telah merekodkan sebanyak 37 kes penahanan melibatkan percubaan untuk membawa masuk dan keluar hasil agromakanan tanpa permit, dengan anggaran nilai berjumlah RM1.35 juta bagi tempoh awal tahun ini sehingga 30 Sept lepas.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya sedang memuktamadkan beberapa cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), yang bertujuan untuk memperluaskan skop kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di luar pusat kuarantin, stesen kuarantin dan premis kuarantin, yang membabitkan kuasa bagi membuat serbuan, siasatan, dan penahanan di luar pintu masuk negara.

“Pindaan itu juga akan memperkukuhkan bidang kuasa bagi tujuan kawalan biosekuriti kepada semua komoditi pertanian, yang berhubungan dengan aktiviti import dan eksport, pemindahan antara wilayah, persinggahan dan pemindahan,” katanya.