MELAKA, 22 Okt — Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka menggerakkan petugas dan sukarelawan di daerah-daerah yang terkesan bagi memantau situasi banjir, di atas dasar prihatin ke atas kejadian banjir yang melanda negeri ini.

Ketua Armada BERSATU Melaka Afiq Nazmi berkata pasukan Taskforce Pemuda PN Melaka digerakkan sejak awal minggu ini dengan koordinasi bersama agensi kerajaan negeri, Persekutuan serta badan bukan kerajaan lain.

“Squad Taskforce ini diketuai Ketua-ketua Pemuda BERSATU Negeri Melaka, yang bertanggungjawab mengatur bantuan logistik kepada mangsa banjir di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

“Sumbangan berbentuk barang makanan asas, pek kebersihan dan pek khas kanak-kanak, telah diserahkan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Balai Raya Gadik, Sekolah Batu Berendam 2, Sekolah Kebangsaan Ayer Molek dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut disampaikan sumbangan yang diberikan oleh Pengerusi PN Melaka Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohidden.

Katanya, Pemuda Perikatan juga mengucapkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada masyarakat yang terlibat dalam memberikan sumbangan baik secara langsung mahupun tidak.