NIBONG TEBAL, 23 Okt — Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) telah selesai menaik taraf struktur empang limpah atau sesekat dan membuang enapan sungai bagi mengurangkan beban pencemaran sedimen kepada pencemaran sistem Sungai Kereh, di Tasek Gelugor dekat sini yang tercemar akibat pelepasan dari ladang ternakan di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Mansor Othman berkata proses pembuangan enapan sedimen sungai di Parit Besar, Parit Kubang Menerong dan Parit Kampung Baharu yang membawa kepada pencemaran di sungai itu dilaksanakan setiap dua hingga tiga tahun sekali dengan kali terakhir dibuat awal tahun ini.

“JAS juga terus komited menjalankan penguatkuasaan secara berkala terhadap 33 kilang pembuatan makanan termasuk tiga kilang berefluen yang terdapat di sekitar kawasan Sungai Kereh itu bagi memastikan pematuhan kepada standard yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.

“Setakat ini kilang-kilang itu memang mematuhi akta ditetapkan dan tidak berlaku sebarang pencemaran daripada premis berkenaan namun ia (pencemaran) di Sungai Kereh dipercayai daripada ladang ternakan (khinzir) di situ, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja berkaitan isu pencemaran Sungai Kereh dan tapak pelupusan sisa pepejal Pulau Burung, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Rozali Mohamud.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pencemaran Sungai Kereh dipercayai berpunca daripada pelepasan najis khinzir dari ladang ternakan di Kampung Selamat, telah menyebabkan kesan pencemaran kepada Kampung Pokok Machang, Kampung Lubuk Meriam, Kampung Tonsun, Kampung Lahar Yooi, Kampung Sungai Korok dan Kampung Seberang Tok Dol.

Mengulas lanjut, Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata JAS juga mengukur kualiti pada setiap bulan di tiga stesen di sepanjang Sungai Kereh dan berdasarkan pemantauan terkini menunjukkan kualiti air sungai itu berada di Kelas III.

“Kami juga telah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar semua agensi yang berkaitan terus melaksanakan tindakan dalam usaha menangani isu pencemaran di Sungai Kereh dengan lebih berkesan bagi memastikan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Mansor berkata JAS telah mengarahkan operator tapak pelupusan sisa pepejal Pulau Burung untuk mengawal aliran sisa larut resapan tidak terawat yang sebelum ini didakwa menjejaskan kualiti penduduk setempat.

“Sebelum ini terdapat tiga isu berbangkit di Pulau Burung yang dikatakan telah menjejaskan kualiti kehidupan penduduk berhampiran termasuk sekolah di sini dan kesan terhadap isu ekonomi seperti masalah penternakan ikan serta pertanian yang terjejas, kami telah minta syarikat pengurusan tapak pelupusan menanganinya segera,” katanya.

Menurutnya peningkatan jumlah sisa pepejal yang mendadak iaitu sehingga 2,500 tan sehari terutama selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara cabaran dihadapi di Pulau Burung ketika ini.

“Selain itu, bahan industri dan bahan kimia juga meningkat dan memerlukan teknologi baharu untuk pelupusan supaya tidak menjejaskan kawasan sekeliling di sini.Kami sedang berbincang berhubung perkara ini dalam usaha memastikan tiada pencemaran berlaku,” katanya.