KOTA KINABALU, 23 Okt — Semua persatuan etnik berbilang latar belakang di negeri ini diminta supaya terus memperkasakan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing agar tidak pupus dihanyut arus perkembangan pesat globalisasi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata ini juga penting agar warisan budaya kepelbagaian etnik di negeri ini, yang terdiri lebih daripada 30 etnik dan 217 sub etnik menggunakan lebih 50 bahasa dengan tidak kurang 90 dialek, akan terus diperkasa dan tidak terpinggir dalam kemodenan serta teknologi masa kini.

Menurut beliau Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Lembaga Pelancongan Sabah juga diminta mengenal pasti etnik yang sudah atau semakin pupus di negeri ini yang kaya dengan budaya serta adat resam yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan bersejarah.

“Sekurang-kurangnya etnik itu tidak akan pupus begitu sahaja tanpa diketahui kewujudannya di Sabah. Saya percaya masih banyak lagi budaya dari segi tarian dan muzik pelbagai etnik di negeri ini yang belum diketahui.

Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu lebih banyak warisan budaya yang dimiliki ini diketengahkan bukan saja kepada dunia luar tetapi juga anak bangsa kita sendiri yang belum mengetahuinya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Etnik Sabah yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, di sini hari ini.

Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Norlidah R M Jasni dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berharap generasi muda akan mengambil tahu tentang kebudayaan kaum sendiri bagi membolehkan setiap amalan budaya tradisional terus kekal.

“Kita tidak mahu keprihatinan terhadap sumbangan seni dan budaya sendiri dilihat semakin terhakis oleh arus perkembangan pesat dunia globalisasi. Lebih merisaukan apabila kita kehilangan warisan budaya tradisional begitu sahaja kerana tiada pewarisnya,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dijalankan kerajaan memenuhi tuntutan rakyat khususnya di Sabah, pembinaan dasar kesatuan dalam kepelbagaian etnik secara tidak langsung mampu menjadi tarikan pelancong dari luar.

“Dengan berkonsepkan kesatuan kepelbagaian etnik maka dapat mengimbangi sektor pelancongan antaranya menerusi persilangan budaya, adat, bahasa sukuan, peralatan muzik tradisional, makanan tradisi dan pakaian etnik.

“Usaha ini dilihat mampu menjadi tarikan dalam sektor pelancongan di negeri ini, kerana pelancongan adalah antara teras utama yang diberi penekanan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.