KUALA LUMPUR, 25 Okt — Kerajaan dijangka menguatkuasakan Akta Anti-Doping Malaysia 2021 dalam masa dua tahun akan datang sebagai usaha memastikan gejala salah guna dadah dapat dikawal di dalam negara.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kementerian bersama Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) ketika ini sedang dalam proses membangunkan akta itu untuk dijadikan sebagai undang-undang bagi sukan tanah air pada masa depan.

“Ia akan mengambil masa (akta), jadi prosesnya bermula sekarang dan dijangka dalam dua tahun insya-Allah akan dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Seminar Anti-doping Kebangsaan 2021 di Bangi dekat sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak tujuh siri sesi libat urus bersama lebih 1,300 pihak pihak berkepentingan telah dilaksanakan sejak bulan lepas dalam usaha mendapatkan maklum balas untuk merangka akta berkenaan.

Katanya, hasil dapatan daripada soal selidik yang dijalankan juga mendapati majoriti peserta bersetuju dengan hasrat kementerian membangunkan Akta Anti-Doping itu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengingatkan semua persatuan sukan negara agar menghormati autonomi Adamas selaku badan anti-doping kebangsaan dan melaporkan sebarang salah laku dan perlanggaran peraturan anti-doping dalam kalangan atlet atau pegawai sokongan atlet.

Beliau yakin apabila semua pihak bekerjasama dalam memastikan Malaysia patuh kepada kod dan peraturan anti-doping itu, negara tidak akan khuatir sekiranya diaudit oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) kelak.

“Apa yang menjadi kerisauan kita adalah sekiranya Malaysia tersenarai sebagai ‘tidak patuh’ sebagaimana yang telah berlaku kepada dua negara jiran kita.

Ketidakpatuhan ini merugikan negara kerana bukan setakat kita akan hilang kelayakan menganjurkan sebarang kejohanan sukan di peringkat antarabangsa malah atlet negara tidak dibenar mengibarkan bendera negara di mana-mana kejohanan sukan di peringkat antarabangsa yang disertai,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal memaklumkan sebanyak 1,476 siri pengujian di luar pertandingan dan 902 dalam pertandingan telah dijalankan secara bersasar kepada atlet bagi tempoh 2016 sehingga kini.

Daripada jumlah itu, beliau berkata hanya 36 kes positif bersamaan dengan 1.51 peratus dikesan daripada jumlah keseluruhan pengujian, dengan kebanyakan atlet terlibat mengalami penggantungan selama dua hingga empat tahun bergantung kepada darjah kesalahan, sama ada secara sengaja atau sebaliknya.

Terdahulu, Ahmad Faizal menyaksikan majlis menandatangani dokumen penerimaan Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 melibatkan kepimpinan tertinggi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan semua ahli gabungan.

Penerimaan peraturan itu antara syarat pematuhan kepada Kod Anti-Doping Dunia 2021 yang menetapkan MOM, MPM dan ahli gabungan mengiktiraf Adamas selaku agensi bertanggungjawab dalam hal ehwal anti-doping di Malaysia selain menerima pakai Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dalam semua urusan di peringkat masing-masing.

Seminar diadakan secara hibrid itu bertujuan memberi pemahaman mengenai perubahan utama yang terkandung dalam Kod Anti-Doping Dunia 2021 dan Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 selain menjadikan ia platform perkongsian dan perbincangan berkaitan isu doping dalam kalangan rakan strategik dan pemegang taruh.