KUALA LUMPUR, 25 Okt — Kerajaan digesa supaya menyusun semula dan menyelaras semua skim bantuan kerajaan sedia ada.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata meskipun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan program bantuan tunai, masih ramai yang tidak membuat permohonan walaupun mereka layak berbuat demikian.

Justeru, beliau merasakan perlu ada usaha untuk mempermudah dan memperkemas pelbagai skim bantuan yang wujud ketika ini.

“Saya ada berbual dengan penduduk di Bukit Tangga dan Guar Napai dalam Parlimen Kubang Pasu, Kedah, ramai juga yang tidak jelas apa bantuan yang mereka layak terima.

“Akibatnya, ada beberapa skim yang mereka sebenarnya layak, tetapi, tidak pernah mohon. Ini adalah satu perkara yang merugikan kerana dalam era Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelbagai skim telah dimulakan yang menyentuh semua strata rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, beliau berkata, ramai yang tidak benar-benar mengetahui skim bantuan yang ditawarkan di bawah pakej Pemulih, Penjana, Bantuan Prihatin Rakyat, bantuan-bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan Majlis Agama Islam dan lain-lain.

“Kewujudan banyak skim dengan nama-nama yang berbeza, dikendalikan oleh pelbagai agensi, dan proses permohonan pun berbeza, kadang kala mengelirukan mereka yang mahu dibantu.

“Saya harap Bajet 2022 akan memulakan langkah untuk streamline skim-skim bantuan supaya proses permohonan dapat disatukan dan dipermudahkan,” katanya.

Beliau turut menggariskan empat cadangan sebagai permulaan untuk menyusun semula skim bantuan kerajaan.

“Wujudkan satu master database semua penerima bantuan yang boleh diakses oleh semua agensi terbabit. Ini akan membolehkan kerajaan membentuk satu gambaran besar mengenai penerima, pemohon dan bantuan-bantuan yang layak mereka terima.

“Permudahkan proses permohonan agar pemohon mengisi satu borang sahaja. Tak perlu lagi mengisi pelbagai borang untuk mohon bantuan dari agensi yang berbeza-beza. Ini memerlukan kerjasama antara kementerian dan antara agensi,” katanya.

Beliau turut menganggap konsep negative income tax yang dipopularkan oleh Profesor Milton Friedman boleh dijadikan panduan dalam menentukan jumlah bantuan yang perlu diberikan.

“Satu penanda aras ditetapkan oleh kerajaan dan mereka yang berpendapatan kurang dari aras ini diberi bantuan untuk membolehkan mereka mencapai aras tersebut.

“Keempat, kita boleh ambil pengajaran daripada pengalaman United Kingdom bermula tahun 2010 menyusun semula pelbagai bentuk bantuan kerajaan dan menyatukan beberapa skim menjadi satu skim baru yang dipanggil Universal Credit,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap Bajet 2022 dijadikan peluang untuk menyusun semula dan menyatukan program-program bantuan dengan matlamat untuk mempermudahkan rakyat memohon bantuan kerajaan.

“Kita mesti kurangkan birokrasi supaya setiap rakyat akan menerima bantuan yang mereka layak terima, dan tiada pertindanan atau ketirisan dalam pemberian bantuan,” katanya.