KUALA LUMPUR, 27 Okt — Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sedang menyediakan Laporan Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun di Gunung Jerai, Kedah yang akan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 26 Nov susulan kejadian tanah runtuh dan aliran puing yang melanda Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju berkata JMG juga sedang mengenal pasti tapak-tapak bersesuaian di Gunung Jerai bagi membangunkan sistem amaran awal bencana geologi.

“Sehingga kini, JMG telah melaksanakan analisis geologi, geomorfologi dan geologi kejuruteraan bagi mengenal pasti lokasi cerun di Gunung Jerai yang berisiko terjadi tanah runtuh serta pemetaan aliran puing termasuk mengenal pasti ciri-ciri aliran puing yang terjadi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah diambil terhadap mitigasi kawasan bencana tahap satu di Gunung Jerai.

Menjawab soalan tambahan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) mengenai punca kejadian tanah runtuh dan aliran puing itu, Ali berkata ia disebabkan hujan lebat dalam waktu yang singkat ekoran fenomena perubahan iklim.