KUALA LUMPUR, 28 Okt — Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin UMNO yang terlibat dengan perbicaraan di mahkamah termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang tidak serik melemparkan pelbagai tuduhan terhadap parti itu.

Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata BERSATU bukan pencetus masalah di Melaka yang menuntut kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) malah partinya menawarkan politik kesatuan yang bersih, telus, berintegriti dan stabil.

“Apa demam Ahmad Maslan ini? Kenapa tidak bercakap mengenai UMNO sebagai perosak kerajaan? Atau UMNO sebagai penolak perpaduan Melayu?

“Yang merayu sokongan DAP ialah UMNO, yang paksa pembubaran DUN Melaka ialah UMNO, yang bergaduh mengenai kontrak pasir ialah UMNO dan yang menjatuhkan Ketua Menteri UMNO ialah UMNO. Ini paling pelik.

“Agenda kami ialah kerajaan prihatin yang berintegriti, takkan dengan agenda ini pun tidak boleh setuju untuk duduk sekali? Lebih baik Ahmad Maslan tumpukan kepada masalah perpecahan UMNO dan jangan sibuk mengenai BERSATU,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab tuduhan Ahmad Maslan pada 24 Oktober lalu bahawa BERSATU dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi pemecah undi kerana penubuhan parti itu merupakan serpihan UMNO.

Katanya, beliau menafikan partinya menjadi pemecah undi kerana UMNO adalah parti induk yang menyaksikan kelahiran parti-parti baharu selepasnya termasuk BERSATU.

Terdahulu, empat ADUN Melaka diketuai Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) daripada UMNO diikuti Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik sokongan kepada Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (UMNO-Lendu) sekaligus membuka jalan kepada pilihan raya negeri, 20 November ini.

Mengulas lanjut, kata Wan Saiful, BERSATU sebaliknya komited dalam menyelamatkan negeri Melaka daripada mereka yang mahu membawa gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) terutama DAP menjadi kerajaan.

“BERSATU mahu menyelamatkan Melaka daripada ketidakstabilan politik, ketamakan peribadi supaya kekayaan negeri boleh dikongsi bersama dengan semua rakyat serta menyelamatkan Melaka daripada pemimpin parti yang tikam kawan sendiri,” katanya.