KUALA LUMPUR, 28 Okt — Kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung BERSATU menjadi pemecah undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini, dikecam netizan di media sosial.

Dalam poster kenyataan Ahmad yang dimuat naik Facebook Barisan Nasional semalam, netizen memaklumkan kerajaan Melaka tumbang disebabkan sikap rakus dan gila kuasa sesama pemimpin UMNO negeri itu.

Malah, ada yang melontarkan pandangan bahawa kemelut politik di Melaka bukan berpunca daripada BERSATU.

“Umno kasi tumbang Umno, BERSATU kena petik. Melayu sesama Melayu kemaruk reta dan kuasa, DAP kena petik. Sampai bila nak amalkan budaya tuding jari ni???”

“Yang betul hanya mereka orang lain semua salah yang sapu pun mereka juga yang menjatuhkannya pun mereka juga DAP yang dipersalahkan.”

“Dekat DUN Melaka Umno sendiri yang tikam Umno.. lagi nak salahkan orang lain.. last-last DAP yang salah.”

“Mat maslan…UMNO yang jatuhkan kerajaan Melaka..harap maklum…hahaha.”

Posting tu mencatat 153 komen setakat berita ini ditulis.

Baru-baru ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kemelut politik yang melanda Melaka sehingga membawa kepada pilihan raya negeri adalah berpunca daripada pemimpin Umno jatuhkan pemimpin Umno kerana rebut kuasa.

Sambil menyifatkan pilihan raya bukan masa sesuai untuk diadakan tatkala negara sedang dalam pemulihan COVID-19, Muhyiddin berkata perkara itu tidak dapat dielakkan kerana menuruti Perlembagaan.

“UMNO jatuhkan UMNO, ini luar biasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata BERSATU bukan pencetus masalah di Melaka yang menuntut kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) malah partinya menawarkan politik kesatuan yang bersih, telus, berintegriti dan stabil.

“Apa demam Ahmad Maslan ini? Kenapa tidak bercakap mengenai UMNO sebagai perosak kerajaan? Atau UMNO sebagai penolak perpaduan Melayu?

“Yang merayu sokongan DAP ialah UMNO, yang paksa pembubaran DUN Melaka ialah UMNO, yang bergaduh mengenai kontrak pasir ialah UMNO dan yang menjatuhkan Ketua Menteri UMNO ialah UMNO. Ini paling pelik.

“Agenda kami ialah kerajaan prihatin yang berintegriti, takkan dengan agenda ini pun tidak boleh setuju untuk duduk sekali? Lebih baik Ahmad Maslan tumpukan kepada masalah perpecahan UMNO dan jangan sibuk mengenai BERSATU,” katanya

Muhyiddin berkata PN akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN negeri itu pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli DUN bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.