KOTA KINABALU, 29 Okt — Kerajaan Sabah mengalu-alukan Bajet 2022 sebagai suatu yang inklusif dan tidak meninggalkan mana-mana sektor dan pihak, pada ketika negara pulih daripada pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata bajet Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera RM332.1 billion yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini amat besar, dengan tahun hadapan dijangka menjadi tahun pemulihan untuk kesemua sektor ekonomi yang terkesan akibat pandemik.

“Peningkatan peruntukan kepada RM5.2 bilion untuk kemudahan asas, infrastruktur, air dan elektrik, selain pembangunan penjagaan kesihatan untuk Sabah, merupakan satu berita yang baik,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengikuti pembentangan Bajet 2022 di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan pegawai kanan kerajaan.

Ketua Menteri itu berkata Sabah amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang sentiasa sensitif kepada keperluan kerajaan negeri yang mencadangkan RM1.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut mengalu-alukan jaminan bahawa projek infrastruktur bernilai RM3.5 bilion, termasuk lebuhraya Pan Borneo, akan diteruskan tahun hadapan.

Hajiji berkata pelepasan cukai dan insentif untuk pelbagai sektor yang dicadangkan dalam bajet itu adalah selaras dengan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya kerajaan Sabah.

“Kami melihat Bajet Nasional sebagai melengkapkan pelan Rancangan Malaysia Ke-12 dan kami mengalu-alukan cadangan peruntukan untuk Sabah tahun hadapan,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan peruntukan RM746 juta dengan sebahagian besar daripadanya untuk 12 projek menaik taraf sekolah usang di Sabah, dan meneruskan subsidi RM209 juta untuk pengangkutan udara di Sabah dan Sarawak.

“Cadangan pembangunan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pagalungan akan tentunya membantu meningkatkan pengawalan keselamatan sempadan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.