JOHOR BAHRU – Kerajaan wajar mengharamkan pengeluaran arak menggunakan nama atau jenama yang mempersendakan agama Islam.

Timbalan Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Taman Kebun Teh, Mazlan Sulor berkata, kerajaan perlu sedar agenda halus itu yang disasarkan kepada umat Islam terutamanya generasi muda.

“Kita percaya pihak terbabit menjadi alat pihak luar untuk menggugat akidah dan mengelirukan umat Islam. Dalam Islam arak adalah ibu segala kejahatan dan mereka menggunakan arak untuk menghancurkan umat Islam.

“Mengapa kita masih perlu bertolak ansur apabila mereka menggunakan nama-nama insan mulia dalam Islam sebagai jenama arak. Kenapa tidak meletakkan nama arak itu sebagai Ah Chong atau sebagainya?

“Kerajaan perlu cepat bertindak, jangan sampai arak jenama itu masuk ke pasaran dengan meluas. Islam adalah agama Persekutuan dan hampir 75 peratus penduduk negara ini adalah penganut Islam. Jadi, ini sangat menyentuh sensitiviti Islam,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Arak jenama Timah dilancarkan pada 7 Oktober lalu dan menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan orang ramai kerana menggunakan nama yang dikaitkan dengan nama puteri Rasulullah S.A.W. dan terbaharu menggunakan arak jenama Omar.

Susulan itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor menggesa syarikat pengeluar minuman beralkohol tempatan tersebut segera menukar jenama ‘Timah’ berserta gambar yang digunakan.

Wan Salim kesal dengan sebuah iklan tular dalam media sosial itu yang menyatakan sejenis wiski buatan Malaysia diberi nama ‘Timah’ berserta paparan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah pada botol minuman tersebut.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihak yang meluluskan arak dengan jenama kontroversi itu sama ada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau agensi lain perlu memberikan penjelasan.

Beliau hairan bagaimana jenama tersebut boleh diluluskan sedangkan jelas jenama arak dengan nama atau jenama berkaitan Islam adalah sesuatu yang pelik dan sudah tentu ada yang tidak kena.

Isu~ itu amat mengecewakan dan tidak boleh didiamkan begitu sahaja kerana sudah melampaui batas dalam kehidupan umat beragama apatah lagi dalam masyarakat majmuk di negara ini.