KUALA LUMPUR — Gabungan calon yang terdiri daripada muka baharu dan calon berpengalaman dilihat formula terbaik Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata calon-calon yang dinamakan adalah mereka yang diyakini akan membawa aspirasi parti demi untuk seluruh rakyat Malaysia.

Tambah beliau, pemilihan calon-calon bagi mewakili PN kali ini telah dilakukan dengan amat teliti.

“Ini adalah satu amanah yang berat, dan menuntut komitmen serta iltizam yang tinggi daripada semua bakal-bakal Yang Berhormat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Saiful, PN mahukan calon-calon yang boleh membawa aspirasi PN, iaitu menawarkan sebuah kerajaan yang mewakili masyarakat Bumiputera dan pelbagai kaum untuk membentuk budaya dan amalan politik baharu yang lebih bersih, stabil, harmoni dan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia.

Tambah beliau lagi, walaupun dikatakan muka baharu dalam arena politik, calon muda yang diketengahkan oleh PN berpotensi tinggi.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua calon-calon yang diberikan amanah membawa bendera Perikatan Nasional dalam PRN Melaka,” katanya.

Wan Saiful berkata pencalonan tersebut melambangkan keutuhan hubungan antara parti-parti dalam gabungan PN.

“Sebelum ini ada yang tertanya-tanya jika gabungan PN boleh bekerjasama dengan baik.

“Pembahagian kerusi dan pemilihan calon-calon secara bersama yang berjalan dengan harmoni menjadi bukti bahawa model PN ini adalah model yang efektif dan lestari,” katanya.

Wan Saiful berkata seluruh jentera Bersatu akan digerakkan untuk membawa kemenangan bagi calon-calon PN. Kita akan berkempen mengikut norma baru.

” Rekod khidmat PN adalah cemerlang. Di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin, kita tidak pernah lari daripada politik khidmat.

“Pelbagai bantuan kita berikan kepada segenap lapisan rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19,” ujarnya.

Tambah beliau PN juga berpegang pada prinsip kedaulatan undang-undang, menjaga kebebasan institusi kehakiman, dan membersihkan negara daripada salah laku dan rasuah.

“Iltizam kita ialah meneruskan kecemerlangan yang sama di Melaka sekiranya rakyat Melaka memilih PN,” katanya.