Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah gabungan politik yang berkongsi aspirasi negara untuk generasi akan datang, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tan Sri Muhyiddin berkata, PN juga ingin memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan kompeten, serta memiliki aspirasi yang tinggi untuk terus memelihara perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

Perikatan Nasional mempunyai peranan yang penting dalam mewujudkan kestabilan politik dan mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum yang bersatu padu di dalam sebuah negara majmuk, selain menjunjung prinsip tadbir urus yang baik dalam pentadbiran kerajaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

Muhyiddin berkata, sebagai sebuah gabungan parti politik, PN juga sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Selain mempersiapkan jentera parti di setiap peringkat, kita juga mesti memantapkan persiapan dengan mengambil iktibar daripada pengalaman yang lepas, iaitu kita mestilah sentiasa mendekati rakyat dan mendapat kepercayaan mereka. Kita perlu tingkatkan kepercayaan daripada rakyat bahawa kita adalah sebuah kerajaan yang cakna, siang dan malam.

Mengenai parti Gerakan yang menyertai PN pada 11 Februari lalu selepas diluluskan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PN, Muhyiddin berkata, penyertaan parti itu akan memperkukuhkan PN sebagai gabungan parti politik yang wakili masyarakat pelbagai kaum, agama dan wilayah, di negara ini.

“Mudah-mudahan berkat iltizam, kecekalan dan semangat setiakawan dalam kalangan parti-parti komponen, saya yakin segala usaha murni Perikatan Nasional akan dapat dizahirkan, menerusi mandat rakyat dalam pilihan raya. Kita akan muncul bersama sebagai satu perikatan yang kuat. Dengan izin Allah, Insya-Allah,” katanya.

“Saya percaya, dengan sejarah dan pengalaman politik yang panjang sejak penubuhannya pada tahun 1968, Gerakan mampu menjadi rakan komponen yang signifikan kepada PN.

“Inilah prinsip-prinsip asas yang menunjangi pembentukan Perikatan Nasional. Maka dengan itu, marilah kita bersama-sama merapatkan saf dan memperkukuhkan gerak kerja sehingga ke peringkat akar umbi, bagi merangka formula terbaik demi kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat jelata.

“Kita perlu kekal bersatu padu di seluruh peringkat dalam memastikan kejayaan sebagai satu. Apabila kita bersatu hati dan mencapai kestabilan politik yang utuh, segala inisiatif untuk memulih dan membangunkan ekonomi negara, akan lebih mudah kita laksanakan,” katanya.