Melaka perlukan satu perubahan jadi salah satu cara ke arah perubahan baru adalah dengan menampilkan pemimpin baru.

Menurut Naib Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Dr Yadzil Yaakub, atas sebab itu calon yang diketengahkan oleh PN adalah 90% muka baru yang akan membawa mandat yang baik.

“Dalam PRN Melaka kali ini kita akan bertanding di bawah satu bumbung Perikatan Nasional jadi kita akan mengabungkan semua kekuatan jentera dari PN Melaka bagi menggerakan jentera bagi memastikan kemenangan PN di Melaka

“Melaka perlukan satu perubahan sebab itu calon yang diketengahkan oleh PN adalah 90% muka baru yang akan membawa mandat yang baik kepada rakyat Melaka khususnya.

“Bagaimanapun kita tidak mengetepikan calon-calon yang ada pengalaman supaya dapat disulam dengan calon baru,” katanya yang juga merupakan calon DUN N24 Bemban.

Kata Dr Yadzil yang juga merupakan calon PN dari Bersatu, cabaran yang dihadapi di DUN Bemban sengit kerana perlu berhadapan dengan calon berpengalaman.

“Di Bemban saya ditentang oleh calon yang ada kelebihan dan pengalaman malah salah seorang calon pernah menjadi ADUN.

“Ini adalah satu cabaran yang sengit namun saya yakin kerana masuk bertanding untuk menang.

Bagaimanapun Dr Yadzil bimbang dengan peratusan pengundi yang akan keluar mengundi pada hari mengundi PRN Melaka yang dijadualkan pada 20 Nov ini.

“Saya akan cuba bawa perubahan yang baik di Bemban cuma saya khuatir peratusan pengundi yang akan keluar mengundi pada hari PRN

“Namun saya yakin pihak SPR, MKN dan KKM, sudah mengkaji cara yang terbaik supaya rakyat dapat turun dengan selamat dan tanpa was-was untuk mengundi dan tidak jadi seperti negeri Sabah pada pilihanraya yang lepas,” katanya kepada media dalam sidang media Perikatan Nasional Melaka pada Khamis.