28 calon Perikatan Nasional yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Melaka telah selesai mengangkat sumpah Aku Janji Anti-Rasuah di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional Negeri Melaka malam tadi.

Angkat sumpah tersebut dilakukan untuk menjunjung tinggi integriti dan amanah sekiranya dipilih oleh rakyat Melaka sebagai wakil rakyat.

Antara kandungan Aku Janji adalah; berjanji memastikan pentadbiran kerajaan negeri Melaka dilaksanakan secara bersih, adil dan bebas rasuah dan mematuhi segala undang-undang yang termaktub dalam Akta Pencegahan Rasuah 2009.

Selain itu mereka juga berjanji akan melaporkan kepada SPR dengan segera jika terdapat sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melibatkan mereka dan kakitangan bawah selian mereka.

Upacara itu disaksikan oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dipimpin oleh Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Datuk Wira Rafiq Naizamohideen.