PENGKALAN BATU 16 Nov – Perikatan Nasional (PN) bersetuju calon bagi jawatan Ketua Menteri Melaka diberikan kepada Bersatu sekiranya rakyat memberikan mandat memilih parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu sudah diputuskan namun belum mendedahkan individu yang akan dicalonkan memegang jawatan terbabit.

Katanya, tumpuan PN pada ketika ini bertumpu kepada menyalurkan maklumat mengenai calon muka baharu selain manifesto parti itu kepada pengundi di Melaka.

“Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman bahawa calon Ketua Menteri telah ditentukan dan ianya adalah daripada Bersatu (bagi) mewakili PN.

“Kita telah mempunyai calon yang telah dipersetujui oleh PN untuk ditabalkan sebagai Ketua Menteri, insyaAllah kita mendapat sokongan majoriti daripada pengundi dan rakyat Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara perkara lain yang menjadi tumpuan pada PRN Melaka adalah mencari pendekatan baharu bagi mendekati pengundi untuk menerangkan manifesto PN yang terdapat enam teras di dalamnya.

“Kita juga memaklumkan tentang kejayaan PN dalam tempoh dua tahun ini untuk menjaga kesihatan dan pulihkan ekonomi, ini keutamaan kita,” katanya.