Masjid Tanah: Calon Perikatan Nasional (PN) Ayer Limau Dr Nordina Abdul Latif, 40, tidak mampu menolak permintaan anggota komuniti yang mahukan beliau memeriksa tekanan darah mereka.

Seorang daripada mereka ialah Wan Salam Wan Abas, 69, yang mengambil kesempatan berbuat demikian ketika menikmati sarapan di warung Kampung Bukit Apit, di sini baru-baru ini.

Wan Salam bersyukur diberikan pemeriksaan kesihatan percuma oleh Dr Nordina yang secara kebetulan menikmati sarapan di warung itu.

Katanya, beliau ke warung berkenaan untuk menikmati sarapan dan tidak menyangka bertemu calon terbabit.

“Pada mulanya saya tidak menyangka wanita itu adalah doktor dan calon pilihan raya tetapi selepas berbual dengannya barulah saya tahu dia calon.

“Saya menceritakan mengenai masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis yang saya hidapi dan alhamdulillah, dia sudi memeriksa kesihatan saya,” katanya ketika ditemui di warung berkenaan.

Dr Nordina, 40, berkata beliau hadir di warung itu bukan untuk berkempen secara bersemuka, sebaliknya hanya berhenti seketika untuk menikmati sarapan ketika dalam perjalanan dari Masjid Tanah ke Alor Gajah.

Katanya, larangan kempen secara bersemuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak harus dilanggar tetapi permintaan Wan Salam untuk menjalani pemeriksaan tekanan darah, tidak harus ditolak begitu sahaja.

“Saya berhenti sekejap di warung ini untuk bersarapan dan tidak menyangka bertemu dengan Pak Cik Wan Salam yang menghadapi masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis.

“Apabila beliau mengadu kurang sihat sejak bangun tidur pagi tadi, saya menawarkan perkhidmatan untuk memeriksa kesihatannya,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu meletak jawatan sebagai Pegawai Perubatan Gred UD54 di Klinik Kesihatan Lubok Cina, di sini baru-baru ini selepas bertugas di klinik itu sejak 2007.

Beliau menjadi ahli BERSATU sejak 2019 dan menganggotai Sukarelawan Masjid Tanah (SMART) sejak April lalu bagi membantu menangani pandemik COVID-19.

Dengan memegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Malaysia Sarawak, Dr Nordina berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) selama 16 tahun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, beliau berhadapan dengan calon Mazenah Baharuddin (Pakatan Harapan-AMANAH) dan Hameed Mytheen Kunju Basher (Barisan Nasional-UMNO).