KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional menyahut seruan dengan memberi peluang kepada 12 anak muda dibawah umur 40 tahun sebagai calon mewakili parti gabungan itu dalam PRN Melaka kali ini.

Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Datin Ema Syuhaili berkata PN membuktikan perkara itu.

“Kita betul-betul menyahut seruan dengan memberi peluang kepada anak muda.

“Kita ada 12 calon anak muda yang berumur dibawah 40 tahun. Bukan sembang kosong, bukan auta dan bukan main-main.

“Cakap bagi peluang kepada orang muda tapi yang keluar semua calon lupus (expired) saya nampak. Calon yang sama sahaja dan sebenarnya itulah punca rakyat menolak kerana calon yang sama.

Ema yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional berkata, fokus Pemuda Perikatan Nasional adalah untuk membantu anak muda mendapat tempat untuk menawarkan politik khidmat bakti kepada rakyat.

“Walaupun anak muda ini muda, tapi sebenarnya matang dan lebih jujur dengan keputusannya.

“Anak muda tak ambil duit, tak fikir kepentingan ke depan, hanya nampak siapa yang telus dan yang bekerja untuk rakyat.”

Menurut Ema lagi, rakyat Melaka lebih gemar untuk tidak berkata apa-apa tetapi lebih kepada menilai gerak kerja parti politik.

“Perikatan Nasional tak perlu sembang lebih, apabila kita letak gambar Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) rakyat tahu apa yang telah Abah lakukan dalam pentadbirannya sebagai Perdana Menteri ke-8.

“Untuk PRN Melaka walaupun kita menghadapi kesukaran kerana tidak boleh berkempen, tetapi yakin dengan enam tunjang utama manifesto Perikatan Nasional yang telah terbukti dalam pentadbiran Perikatan Nasional sebelum ini,” katanya.