MELAKA:  “Contoh dua malam saya di Tanjung Bidara, Ketua Cawangan UMNO yang bosan dengan Rauf (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) bantu Mas (Datuk Mas Ermieyati Samsudin), tapi takkanlah kita ni gila nak dedah siapa jika strategi itu kita punya” kata Badrul Hisham Shaharin yang dikenali Che Gu Bard.

Penyelaras Gerak Kerja Penerangan Kempen Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka itu mengulas laporan sebuah stesen televisyen media perdana berhubung ada individu memakai baju berlogo parti PAS sedang membantu calon BN.

“Ia adalah strategi yang tidak cerdik, kes terpencil dari BN. Tak akan kita nak dedah hakikat kita kenal pasti siapa dan kenapa perkara itu berlaku.

“Contoh ada ahli AMANAH di Pantai Kundur bantu calon PN sebab kecewa apabila AMANAH beri ruang kepada calon lompat parti dari BN iaitu Datuk Azman untuk bertanding kerusi AMANAH.

“Contoh di Bukit Katil, PKR bantu calon PN sebab PKR mahu Adli kalah atau kurang majoriti sebab PKR mahu Shamsul Iskandar jadi Ketua Menteri,” katanya kepada pemberita di sini.

Tambah beliau BN terdesak guna media arus perdana untuk manipulasi hanya untuk menutup isu sebenar bagaimana kekalutan berlaku di pihak mereka.

“Sebagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut dengan jelas nampaknya media arus perdana mula mengulang semula kerajaan dulu-dulu di mana liputan untuk BN amat meluas, PH pun ada liputan juga tetapi kurang liputan terhadap PN seolah PN tiada calon yang bertanding.

“Bagaimanapun, PN tetap dibantu oleh rakan media sosial yang berpengaruh dan selebriti dan saya yakin keputusan kali ini akan memeranjatkan semua,” katanya.