ALOR GAJAH : Ketua Bersatu Bahagian Alor Gajah, Zamzuri Ariffin berhasrat menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering melanda bandar itu terutama di Dataran Keris di sini.

Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang memegang mandat selama 22 bulan itu pembinaan tebatan banjir di sekitar bandar itu yang mempunyai beberapa fasa dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Apabila hendak menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin, kita perlu sedaya-upaya membantu rakyat yang mempunyai masalah dan apa juga keperluan. Bergelar MPAG selama 22 bulan, saya sudah merancang banyak perkara. 

“Saya berhasrat meneruskan usaha membina tebatan banjir yang dapat mengurangkan banjir, namun ia tidak dilakukan hingga kawasan di Dataran Keris kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat.

“Tetapi malangnya pembinaan tebatan banjir itu tidak dilaksanakan dan keadaan tersebut tidak boleh hendak dielakkan daripada berlakunya banjir kilat,” katanya kepada Wacana di Bilik Gerakan PN DUN Rembia, di sini pada Rabu malam.

Beliau yang juga calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia menegaskan, sepanjang 22 bulan menjaga Alor Gajah, sepatutnya banjir tersebut dapat dikurangkan kepada 80 peratus.

Selain itu, Zamzuri turut merencana menjadikan Alor Gajah sebagai pusat tarikan pelancong kedua selepas Bandar Melaka.

“Selain bencana alam, saya turut berhasrat menjadikan Alor Gajah sebagai pusat tumpuan kedua memandangkan Bandar Melaka sering sesak pada hujung minggu. 

“Malah, saya juga merancang untuk membina stadium mini dilengkapi pelbagai kemudahan sukan seperti mana terdapat di Jasin dan Masjid Tanah,” katanya.