KUALA LUMPUR: Datuk Zuraida Kamaruddin menyifatkan pencalonan Datuk Wira Mas Ermieyati sebagai calon wanita bagi jawatan Ketua Menteri Melaka Perikatan Nasional bakal mengubah politik negara.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu berkata ini merupakan julung kali seorang wanita diangkat sebagai calon Ketua Menteri dan pasti disambut baik oleh rakyat semasa membuang undi esok.

“Mas Ermieyati mempunyai ‘track record’ yang baik iaitu dua penggal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah dan mempunyai pengetahuan yang tinggi, selain daripada menyandang jawatan dalam kabinet sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Malah Zuraida yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin atas keputusan yang dibuat berharap lebih ramai wanita akan diberi peluang untuk menjadi calon pada setiap pilihanraya sebagai sebuah pilihan alternatif untuk rakyat.

“Saya menyokong tindakan mencalonkan Datuk Mas Ermieyati sebagai seorang bakal Ketua Menteri dan percaya pilihan yang diketengahkan oleh Perikatan Nasional akan menjadi ‘game changer’ dalam arena politik tanah air,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.