MELAKA: Selepas meraih kemenangan di Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Dr Aleef diangkat menjadi wakil rakyat, melahirkan tekad dan komited untuk memastikan semua pengundi mendapat hak kebajikan dan keperluan yang telah diperuntukkan untuk mereka.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusof yang mewakili Perikatan Nasional (PN), 35, bekas doktor perubatan di sebuah hospital swasta di Melaka berkata beliau bukan sahaja akan memberi fokus pada kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan sebahagian besar pengundi DUN itu, malah seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan tanpa mengira parti.

“Saya rasa sangat gembira, teruja dan bersyukur dikurniakan amanah sebagai wakil rakyat Sungai Udang dan akan bekerja kuat demi amanah ini.

Dr Aleef dipilih sebagai wakil rakyat selepas mendapat undi sebanyak 6,789 undi menewaskan tiga lagi calon termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata kejayaan yang diraih itu adalah kemenangan jentera Perikatan Nasional (PN) Sungai Udang yang telah bekerja keras dan konsisten dalam beberapa tahun lepas untuk memastikan kemenangan parti tersebut di DUN berkenaan.

“Ini kali pertama saya menyertai pilihan raya negeri di bawah tiket PN dan dipilih sebagai ADUN Sungai Udang…ia menjadi titik tolak saya untuk bekerja kuat bukan sahaja untuk rakyat tetapi untuk PN,” katanya yang merupakan calon muda yang bertanding di DUN Sungai Udang dalam PRN itu.