[I]SKANDAR PUTERI: Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Iskandar Puteri, Fakhrul Anwar bin Ramli berkata, desakan Nur Jazlan  terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik terus sokongan kepada kerajaan supaya PRU-15 diadakan segera boleh difahami sebagai ingin mengambil kesempatan untuk menawarkan diri sebagai calon kelak.

“Setelah kalah dengan majoriti yang amat besar malah di bawah kepimpinannya sebagai Pengerusi BN Pulai juga tewas di kedua-dua DUN dengan majoriti 9,178 di DUN Kempas dan 19,533 di DUN Perling. Adalah lebih baik beliau fokus untuk menjaga bahagian sendiri memandangkan beliau bukan Ahli Parlimen atau ADUN.

“Sebagai Ahli Parlimen Pulai yang kalah dengan majoriti lebih 28,924 pada PRU-14 mahukan PRU segera untuk membolehkan dirinya dicalonkan semula bertanding di Parlimen sama,” ujarnya.

Menurut Fakhrul lagi, sebagai pemimpin nombor dua dalam UMNO Johor sewajarnya beliau membantu mengukuhkan perpaduan dan kerjasama antara BN & PN di peringkat pusat dan negeri bagi memberikan perkhidmatan terbaik pada rakyat, apatah lagi kedua-duanya diketuai oleh pemimpin dari UMNO BN sendiri.

Fakhrul berkata, beliau yakin dan percaya apa jua tindakan yang diambil oleh Tan Sri Muhyiddin dan Bersatu sentiasa menjadikan kepentingan negara dan negeri serta kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“Tan Sri (Muhyiddin) & Perikatan Nasional menghormati dan mematuhi titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Sultan Johor yang mahukan semua pihak fokus dan sama-sama berganding bahu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat yang terjejas dengan kesan pandemik COVID-19,” ujarnya lagi.