KUALA LUMPUR, 23 Nov — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Yusof menafikan kenyataan yang tular di media sosial, di mana beliau kononnya menggesa tiga pemimpin parti itu meletakkan jawatan berikutan prestasi mereka yang kurang memberangsangkan dalam pilihan raya Melaka.

Ahli Parlimen Alor Gajah yang lebih mesra dipanggil PakWan itu berkata, kenyataan itu adalah fitnah dan berniat jahat.

“Kenyataan itu mempunyai unsur fitnah adalah tanggungjawab pihak yang terdesak dan kecewa, dan mempunyai niat jahat untuk memecahbelahkan kepimpinan Bersatu,” katanya.

Dalam kenyataan yang menjadi tular, Redzuan didakwa menggesa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin meletak jawatan.

Kandungan kenyataan itu juga mendakwa kekalahan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu dalam pilihan raya Sabtu lalu adalah protes rakyat yang tidak dapat menerima mereka dan kempen parti itu telah gagal.

Pada PRN Melaka yang berlangsung Sabtu lalu, Perikatan Nasional bertanding di semua 28 kerusi DUN, 15 calon dari Bersatu, lapan dari PAS dan lima dari Gerakan.