TAWAU: Kemasukan ahli baru secara drastik ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) khususnya di bahagian Kalabakan membuktikan sambutan masyarakat terhadap parti itu terus meningkat sejak masuk ke Sabah Mei 2019.

Ketua Bahagian PPBM Kalabakan, Karim Wahid berkata walaupun masih di peringkat usia remaja, beberapa peristiwa yang berlaku telah menjadi petunjuk bahawa parti itu sedang menuju ke arah kematangan dan kini menjadi peneraju dalam petadbiran negeri Sabah pada hari ini.

Katanya kejayaan memenangi pilihanraya negeri September 2020 melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sangat signifikan di dalam konteks perkembangan dan kemajuan parti itu di Malaysia khususnya di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika perasmian serentak Persidangan Perwakilan Armada, Srikandi dan Bahagian PPBM Kalabakan di Hotel Emas di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A. Ghani Pg Amir, mantan ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisah Samad, Yang DiPertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah, Ketua Bahagian PBRS Kalabakan, Ishak Mukri  dan Pemangku Ketua PBS Dun Tanjung Batu Mohd Yusuf @ Francis

Karim berkata keahlian PPBM Kalabakan kini seramai 9913 dan kira-kira 2000 lagi dalam proses kemasukan dengan 140 cawangan merupakan jumlah besar manifestasi terhadap sambutan luar biasa penduduk.

“Bersatu wujud sebagai sebuah parti yang menampilkan tawaran baru kepada rakyat dengan membawa imej bersih, telus dan bermaruah dalam tadbir urus kerajaan bagi menegakkan sebuah negara yang relevan dengan kehendak dan aspirasi rakyat berbilang kaum khusus generasi muda yang mempunyai pemikiran dan penerimaan yang berbeza”.

Katanya, penerimaan masyarakat dan golongan muda adalah penting demi kelestarian perjuangan parti terutama ketika berada di dalam dunia maya tanpa sempadan melalui peranan media sosial.

“ Kita yakin parti ini akan terus diterima pada tahun-tahun mendatang kerana perjuangan sucinya yang bermatlamat utk membela dan memperjuangkan nasib rakyat”.

Bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang, beliau meminta semua ahli dan jentera bersiap siaga dengan semangat tinggi untuk memainkan peranan masing2 dengan merapatkan saf dan mengetepikan persengketaan.

“Kita yakin dengan imej dan rekod yang bersih serta pembaharuan yang kita bawa melalui pemimpin berpengalaman di pelbagai peringkat boleh dijadikan tawaran baru kepada pengundi”.

Beliau turut meminta Armada dan Srikandi untuk memperhebatkan strategi dan inovasi untuk menawan hati pengundi muda yang dijangka turut mewarnai pentas dunia politik semasa.

Dalam pada itu, selari dengan pengukuhan perpaduan dalam komponen GRS, PPBM Kalabakan juga turut mengusulkan jawatan Ketua Menteri Sabah dihadkan kepada tidak melebihi dua penggal berturut-turut bagi membolehkan perkhidmatan itu memberi fokus kepada agenda pembangunan negeri dan aspirasi rakyat.

Pada majlis itu juga Karim turut melancarkan Program Jejak 18 Armada Parlimen Kalabakan yang merupakan projek carian pengundi muda peringkat umur 18 tahun ke atas dengan sasaran 26,000 yang berdaftat di Parlimen Kalabakan.