KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat delegasi daripada Kedutaan Amerika Syarikat diketuai oleh TYT Brian McFeeters, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia di pejabat beliau di Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut Muhyiddin yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, pelbagai perkara melibatkan hubungan dua hala, situasi semasa COVID-19, pemulihan ekonomi dan bidang keselamatan dibincangkan dalam pertemuan selama satu jam ini.

Katanya, TYT Brian McFeeters turut berkongsi mengenai isu-isu yang dihadapi oleh pelabur-pelabur Amerika Syarikat di Malaysia dalam situasi pandemik COVID-19 yang mencabar.

“Saya memberi komitmen untuk melihat setiap isu yang dibangkitkan dan mengadakan sesi libat urus bersama pemain-pemain industri berkenaan.”

Untuk rekod, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang ketiga terbesar di Malaysia, dengan jumlah dagangan antara kedua-negara direkodkan sejumlah RM178.18 billion atau USD 42.24 billion pada tahun 2020, meningkat dari tahun-tahun sebelumnya.