KUALA LUMPUR, 7 Dis — Bantuan secara langsung sama ada secara tunai atau subsidi kerajaan, akan terus disalurkan khususnya kepada rakyat dan segmen perniagaan yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith, berkata perkara itu sudah diperincikan dalam Bajet 2022, di samping pelbagai bentuk bantuan lain yang sudah diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Ketika pandemik ini, mereka yang terkesan akan terus mendapat bantuan secara langsung sama ada bantuan tunai atau subsidi kerajaan.

“Ada inisiatif diberikan kepada rakyat, termasuk menyediakan geran bantuan bagi meningkatkan pendapatan dan mengekalkan pekerjaan.

“Bagi golongan usahawan pula, diberi akses untuk mendapatkan pembiayaan kewangan bagi menjana pendapatan serta menceburi perniagaan mikro,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan asal Shamsul Anuar, Eddin Syazlee memaklumkan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan terutama bantuan tunai, kerajaan akan meningkatkan usaha memperbanyak program kebajikan produktif.

Beliau berkata, ia supaya setiap isi rumah dapat meningkatkan kapasiti dan keupayaan bagi meningkatkan pendapatan dan seterusnya taraf hidup mereka secara mampan.

“Inisiatif ini termasuk JaminKerja Keluarga Malaysia dengan peruntukan RM4.8 bilion bagi menyediakan 600,000 peluang pekerjaan, termasuklah melaksanakan Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) dan program latihan serta peningkatan kemahiran supaya pekerja terutama dalam kalangan B40, mampu meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Bagi tempoh jangka panjang pula, beliau memaklumkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan serta kuasa beli dan kesejahteraan, terutama isi rumah di bandar dan luar bandar.

“Kerajaan percaya strategi dan inisiatif berkenaan, terutama melalui program kebajikan produktif, dapat meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kebergantungan rakyat kepada bantuan tunai daripada kerajaan, di samping menangani cabaran semasa dan masa hadapan, termasuk impak pandemik COVID-19,” katanya.