KUALA LUMPUR, 7 Dis – Kerajaan memberi jaminan bekalan ayam yang diimport disahkan berkualiti, selamat dan halal dalam usaha menampung keperluan kekurangan bekalan di negara ini untuk sementara waktu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kesemua ayam yang bakal diimport hanya dibenarkan daripada loji pemprosesan diiktiraf selain pemantauan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tidak berbangkit (isu seperti kartel daging). Malaysia sudah mengimport (ayam) sejak sekian lama daripada loji-loji yang diiktiraf kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Negara Kebangsaan (Nekmat) ke-36, pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kegusaran pengguna berhubung isu status halal ayam yang bakal diimport setelah kerajaan mengumumkan akan memberi kebenaran mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan bagi tempoh bulan ini hingga Februari tahun hadapan.

Ia susulan harga ayam segar di pasaran naik antara RM9.20 hingga RM10.80 sejak Oktober lalu menyebabkan ramai pengguna mengeluh.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menggalakkan pertumbuhan syarikat yang boleh mengendalikan perniagaan dalam talian sebagai platform mengurangkan pengaruh orang tengah yang memanipulasi harga sehingga menyumbang kepada punca kenaikan harga bekalan makanan di negara ini.

Bagaimanapun jelas beliau, peranan dan keperluan orang tengah sukar dihapuskan kerana ia mempunyai hubungan antara golongan petani, peladang dan penternak.

“Pendekatan urus niaga dalam talian jika dilakukan secara menyeluruh boleh mengurangkan pengaruh orang tengah. Jadi, penternak, petani dan nelayan harus bersedia melakukan pemasaran melalui platform ini.

“MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat swasta dan platform atas talian bukan hanya untuk urusniaga peniaga dengan peniaga tetapi juga peniaga dengan pengguna secara terus,” katanya.

Pada majlis berkenaan turut berlangsung penyerahan Zakat Fisabilillah Agrobank dan Penyampaian Sumbangan Kepada Yayasan Nelayan Malaysia (Yanem), Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Nekmat, serta Penyampaian Zakat Perniagaan Nekmat Bagi Tahun 2020 Kepada Persatuan Nelayan Negeri dan Yanem.