KUALA LUMPUR, 11 Dis – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan persiapan kontinjen negara bagi menghadapi tiga temasya sukan besar tahun depan tidak akan terjejas di sebalik berdepan kekangan peruntukan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui kerajaan ketika ini memberi fokus yang lebih kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat pasca pandemik COVID-19 namum dalam masa yang sama tidak akan mengabaikan persiapan atlet bagi menghadapi Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

“Kita bersedia untuk memastikan semua atlet berprestasi tinggi kita mendapat latihan, persediaan, kelengkapan dan sebagainya yang mencukupi tahun depan.

“Jadi, tidak perlu dibimbangkan. InsyaAllah, KBS bersama Majlis Sukan Negara tetap akan meneruskan segala aktiviti yang sudah dirancang tahun depan,” katanya ketika hadir menyaksikan perlawanan amal antara pasukan Yakult All Star dan Harimau Pekak Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sukan SEA Vietnam 2022 bakal berlangsung 12 hingga 23 Mei, diikuti Sukan Komanwel di Birmingham 28 Julai hingga 8 Ogos sebelum Sukan Asia di Hangzhou, China bermula 10 hingga 25 September.

Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyuarakan kebimbangan persiapan kontinjen negara bagi menghadapi tiga temasya besar tahun depan akan terjejas tanpa peruntukan kewangan yang sewajarnya.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata pihaknya menerima keluhan daripada persatuan sukan yang bimbang sekiranya peruntukan dipotong ataupun tiada langsung bagi mempersiapkan atlet negara.