KUCHING, 11 Dis — Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin meminta supaya tiga lagi ahli BERSATU mengikut jejak langkah Datuk Ali Biju dengan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Tiga ahli Bersatu yang bertanding Bebas adalah Siki Balarik di Belaga, Ricky Enteri di Bawang Assan dan Ismawi Muhammad di Muara Tuang.

Willie berkata, mereka sepatutnya akur dengan persefahaman antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan memberikan sokongan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kita di peringkat parti mendengar nasihat presiden dan beliau telah mengarahkan semua ahli parti supaya membantu serta menyokong calon-calon GPS,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Kampung Pichin malam tadi.

Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, ahli Bersatu perlu memberikan kerjasama supaya wujud kesinambungan yang akan membawa kepada kestabilan politik bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat persekutuan.

“Hak mereka untuk bertanding tidak boleh dinafikan kerana mereka boleh letak jawatan dan bertanding sebagai calon Bebas.

“Itu hak mereka tetapi kita perlu melihat dari segi kerangka yang lebih besar dan gambaran yang lebih luas dalam senario politik pada masa hadapan,” katanya.