PUTRAJAYA, 11 Dis — Kehilangan keyakinan pelabur akibat perubahan pendirian kerajaan antara implikasi yang akan mengakibatkan risiko reputasi terhadap kerajaan sekiranya memutuskan untuk menukar model Rangkaian Borong Tunggal atau Single Wholesale Network (SWN) di saat ini.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, implikasi serius dari aspek kewangan dan perundangan ke atas negara dan Digital Nasional Berhad (DNB) sekiranya sebarang pelanggaran atau penamatan kontrak disebabkan oleh penukaran model.

“Implikasi lain ialah kehilangan penjanaan ekonomi berjumlah RM122 bilion menjelang 2030 seperti dilaporkan oleh kajian daripada Ernst & Young Sdn Bhd (EY) serta kehilangan kos peluang pihak industri dalam memperoleh keuntungan memandangkan rangkaian 5G akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan kecekapan.

“Seterusnya, kehilangan sokongan sehingga 15,000 pekerjaan berkaitan pembangunan rangkaian 5G serta gangguan terhadap penciptaan 148,000 pekerjaan di dalam ekonomi secara keseluruhannya, yang sepatutnya mendorong peralihan ekonomi kepada pekerja berkemahiran tinggi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, model SWN yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan mempunyai kelebihan untuk melaksanakan rangkaian 5G dengan pantas pada kos paling rendah dan kualiti lebih baik serta dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang akan menyediakan akses adil dan sama rata kepada semua syarikat telekomunikasi.

Menurutnya, SWN juga tidak akan terlibat di dalam pasaran runcit berdasarkan model perniagaan syarikat dan syarat lesen oleh SKMM malah, beliau menyambut baik keputusan Telekom Malaysia Berhad yang telah menandatangani perjanjian percubaan bersama DNB.

“Ini akan melihat pelanggan mereka menerima perkhidmatan rangkaian 5G dalam masa terdekat. Dalam masa sama, ini jelas membuktikan model yang diadaptasi oleh DNB serta pengurusan mereka berjaya untuk menyampaikan perkhidmatan 5G berdasarkan garis masa yang ditetapkan.

“Saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan perkara-perkara ini dalam menentukan model pelaksanaan paling sesuai untuk seluruh rakyat termasuk aspek keterangkuman dan kemampuan rakyat untuk menikmati perkhidmatan 5G pada kos rendah,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mengingatkan, model berteraskan bekalan ini juga penting bagi memastikan perkhidmatan 5G dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan luar bandar kerana hakikatnya, buat masa ini perkhidmatan 4G tidak dinikmati oleh kebanyakan penduduk luar bandar dan kes Veveonah Mosibin pada Jun tahun lalu adalah contoh terdekat.

“Ia kerana kawasan-kawasan tersebut tidak menguntungkan bagi syarikat telekomunikasi. Malah, kerajaan terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan berjumlah RM28 bilion daripada wang awam dan swasta di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk menghubungkan perkhidmatan ke kawasan luar bandar apabila syarikat telekomunikasi yang lazimnya dipacu keuntungan komersial, gagal menyediakan liputan.

“Syarikat telekomunikasi mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 4G di kawasan berpenduduk sebanyak 82.2 peratus, manakala sebaliknya DNB menyasar melancarkan 5G kepada lebih 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang 2024.

“Justeru, model SWN yang diguna pakai DNB berserta manfaat lain jelas menguntungkan semua pihak. Lebih utama, model ini akan memastikan keterangkuman liputan rangkaian 5G serta harga murah bagi perkhidmatan tersebut untuk seluruh rakyat, tidak kira individu atau perniagaan. Jadi saya harap perkara ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak atas kepentingan sempit masing-masing,” katanya.