KUALA LUMPUR, 14 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang meletak jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka pada 26 November lalu.

Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan pelantikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah sebagai Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka yang baharu.

Mas Ermieyati juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Naib Ketua Srikandi BERSATU serta Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah.

“Pelantikan Dr. Mohd Yadzil dan Mas Ermieyati bagi menerajui Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka serta penyusunan semula Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka diyakini dapat memperkuatkan struktur parti BERSATU dan memperkukuhkan lagi perkhidmatan parti kepada rakyat negeri Melaka khususnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, Dr. Mohd. Yadzil yang telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November yang lalu merupakan Ketua Bahagian Bersatu Jasin dan Timbalan Pengerusi PN Negeri Melaka.

“Berkelulusan Ijazah Perubatan dari Universiti Udayana Indonesia, beliau pernah berkhidmat di Hospital Melaka dari tahun 2005 hingga 2009 sebelum menjadi Pegawai Perubatan di Poliklinik Hidayah, Jasin,” katanya.