KUALA LUMPUR, 14 Dis – Kerajaan tidak perlu mengumumkan kementerian mana yang mendapat markah tertinggi selepas 100 hari pentadbiran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.

Menjelaskan perkara itu, Abdul Latiff berkata, sebaliknya biarlah perkara itu disimpan oleh Perdana Menteri sahaja dan menegaskan, markah 90 peratus yang diberikan Perdana Menteri pada program Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia baru-baru ini bukan sengaja ditetapkan.

“Soal markah tinggi atau rendah, biarlah guru besar (Perdana Menteri) simpan, tak perlu guru-guru kecil (menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen) tahu. Dia pun baru jadi guru besar, bagilah peluang kepadannya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) meminta Perdana Menteri menyatakan apakah justifikasi atau bagaimanakah pengiraan yang mengesahkan pencapaian 90 peratus yan g dianggap tinggi dalam pentadbiran 100 hari kerajaan Keluarga Malaysia.

Kee Chin juga mahu kerajaan mengumumkan kementerian yang memperoleh markah tertinggi dan terendah serta apakah rancangan seterusnya untuk menambah baikkan sebarang kelemahan sedia ada.

Pelaksanaan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) atau sebelum ini dikenali sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah bagi memastikan setiap kementerian mempunyai hala tuju dan perancangan yang jelas dari segi jangkapendek, sederhana dan panjang.

Katanya lagi, pelaksanaan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari itu juga bertujuan memastikan setiap anggota Jemaah Menteri di kementerian bekerja keras dalam tempoh itu setelah dilantik atau dilantik semula menganggotai Kabinet.