KUALA LUMPUR, 14 Dis – Tindakan segera dan tegas akan dikenakan kepada mana-mana sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang cuba menyembunyikan kes buli di sekolah masing-masing.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia berikutan kemungkinan terdapat kes buli tertentu yang ‘disenyapkan’ bagi mengelak diketahui pihak luar.

“Sebab itu kita telah mewujudkan sistem pelaporan, maknanya pihak sekolah boleh melaporkan apa sahaja kes buli yang berlaku di dalam sistem tersebut dan daripada itu kita mendapat maklumat berkaitan kes buli yang berlaku serta tindakan yang patut diambil,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) mengenai pendirian KPM tentang perlunya tindakan tegas terhadap pengurusan atau pentadbir institusi pendidikan yang cuba menyembunyikan kes buli sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

Sebelum itu, menjawab soalan asal Che Alias mengenai usaha kerajaan dalam menangani masalah buli di sekolah termasuk dalam kalangan pelajar asrama, Radzi berkata KPM telah merangka satu kerangka menyeluruh bagi membanteras buli di sekolah termasuk di asrama.

Beliau berkata, kerangka baharu itu melibatkan pengukuhan dan penambahbaikan kepada pendekatan sedia ada dengan tumpuan kepada empat komponen utama iaitu penyedaran, pelaporan, penghukuman dan pemantauan.

Dalam konteks penyedaran, katanya, KPM akan memperkenalkan konsep Sekolahku Sejahtera yang bertujuan memupuk dan menerapkan nilai penting kehidupan dalam kalangan warga sekolah termasuk murid oleh guru secara langsung atau tidak langsung menerusi aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

Bagi pelaporan pula, saluran pelaporan telah disediakan KPM bagi membolehkan sekolah melaporkan kes buli kepada KPM, selain menyediakan Garis Panduan Mencegah dan Menangani Perbuatan Buli Dalam Kalangan Murid di Sekolah dan Buku Panduan Pengurusan Menangani Buli Di Sekolah sebagai panduan.

“Berhubung dengan penghukuman di peringkat sekolah, KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/2010 yang menyentuh tentang hukuman terhadap pelaku buli di sekolah atau di asrama.

“Bagi aspek pemantauan pula, pada masa ini pemantauan di sekolah dilaksanakan oleh pentadbir, guru dan warden yang terdiri daripada kalangan guru,” katanya.