PASIR GUDANG, 15 Dis – Sayap Bersekutu BERSATU akan mengadakan siri jelajah untuk mempromosikan sayap tersebut bagi menarik penyertaan masyarakat bukan bumiputera menjadi ahli BERSATU.

Naib Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Pusat, Dr Chong Fat Full berkata kepimpinan tertinggi Sayap Bersekutu BERSATU sudah mengadakan perbincangan dua hari lalu berkenaan perancangan tersebut.

Katanya, ini kerana masih ramai terutama bukan bumiputera tidak mengetahui kewujudan sayap itu sekali gus memaklumkan bahawa BERSATU merupakan parti untuk pelbagai kaum.

“Setakat ini sayap berkenaan sudah ditubuhkan di dua negeri iaitu Sabah dan Johor. Tujuan nak buat banyak promosi pertamanya adalah untuk maklumkan kepada orang ramai bahawa mereka ada pilihan (parti politik) baharu.

“Kedua kita nak orang tahu bahawa BERSATU sudah ada satu sayap baharu untuk rakyat Malaysia bukan bumiputera sekali gus akan membantu masyarakat melihat parti ini dengan perspektif baharu.

“BERSATU bukan lagi alternatif kepada UMNO atau tempat berkumpulnya bekas ahli UMNO, dia sudah tidak sama. Kita sudah masuk elemen kepelbagaian kaum,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Aquagro Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Jalan Bacang, Taman Kota Masai pada Selasa.

Menurutnya, selepas di Sabah dan Johor, Sayap Bersekutu BERSATU akan melebarkan sayapnya ke Kedah, Melaka, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan semua negeri secara berperingkat.

Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Johor itu berkata, setakat ini keahlian untuk sayap berkenaan di negeri ini adalah seramai 5,000 dan pihaknya komited untuk menambah jumlah keahlian sayap berkenaan pada masa depan.

“Semasa kita hendak sediakan senarai itu, kita agak berhati-hati kerana mahu memastikan ahli adalah orang yang akan menyokong perjuangan parti dan bukan mudah keluar selepas itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fat Full berkata, pihaknya juga turut bercadang menggunakan nama Kesatria sebagai nama rasmi bagi sayap baharu itu.

“Ini sesuatu yang belum diumumkan dan belum rasmi, masih di peringkat cadangan. Kita ada Armada, Srikandi, jadi nama Sayap Bersekutu pelik sikit, jadi ada cadangan untuk menggunakan nama Kesatria.

“Kesatria merupakan perkataan Sanskrit yang membawa maksud pahlawan namun perkara ini perlu mendapatkan persetujuan di peringkat Pusat, Jadi kita cadangkan dan akan bawa ke mesyuarat MPT BERSATU,” katanya.