PUTRAJAYA, 17 Dis – Mengurangkan pengaruh orang tengah dalam sektor agromakanan negara merupakan usaha bersepadu di peringkat penguat kuasa dan dalam kalangan petani, penternak serta nelayan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menganjurkan pelbagai program bantuan dana kepada petani, penternak dan nelayan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional bagi menyediakan ruang pemasaran serta dana kepada mereka.

“Jadi, seharusnya mereka menggunakan dana ini dan tidak bergantung kepada orang tengah.

“Usaha mengurangkan pengaruh orang tengah dalam rantaian pemasaran sektor agromakanan perlukan kerjasama semua pihak termasuk dalam kalangan petani, penternak dan nelayan,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACorp.) dan Syarikat Alpha Ocean Resources Berhad Group pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ada pihak yang sengaja mengambil peluang untuk meningkatkan harga bekalan makanan di pasaran.

“Kita tahu peranan orang tengah yang mempengaruhi harga pasaran produk agromakanan negara apatah lagi ketika input barangan pertanian, contohnya racun, makanan ternakan dan baja yang ketika ini meningkat tinggi menyebabkan kos pengeluaran meningkat.

“Jadi semua pihak harus bekerjasama dan bertanggungjawab dalam memastikan bukan sahaja kebajikan petani, penternak dan nelayan diambil kira serta dijaga, tetapi juga kebajikan pengguna.

“Kerajaan melalui agensi dan jabatan di bawah kementerian berusaha untuk mengurangkan pengaruh orang tengah. Sebab itu kita lihat peranan FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang mewujudkan lebih 100 pusat pengumpulan hasil pertanian di seluruh negara, ” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, kerjasama itu merupakan persefahaman yang akan mewujudkan ruang perniagaan baharu bagi FAMACorp. dan juga pertubuhan peladang kawasan.

“Ia melibatkan pembekalan barang basah seperti ikan, ayam dan sayur serta makanan proses yang akan dibekalkan kepada beberapa buah kapal tuna di bawah AORB Group.

“Pada 2 November lalu, FAMACorp. telah membuat pra perbekalan stok bekalan makanan kepada AORB Group berjumlah RM35,000 membabitkan dua buah kapal tuna melibatkan 56 Stock Keeping Unit (SKU),” jelasnya.