SENDAYAN, 17 Dis – Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Petronas Dagangan Berhad (PDB) telah berkolaboratif untuk meluas dan meningkatkan insentif industri automotif yang dijangka mampu menarik lebih banyak syarikat tempatan khususnya dalam kalangan bumiputera yang mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Inisiatif itu dicapai dengan pembukaan beberapa outlet Petronas AutoExpert dan Auto Servis oleh usahawan bumiputera yang terpilih untuk menyertai Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara Petronas (PUMP).

Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, inisiatif itu sejajar dengan usaha kerajaan dalam membangunkan industri automotif negara yang sedang berkembang pesat dengan menginovasikan strategi perniagaan daripada Petronas yang boleh dimanfaatkan oleh peserta berkaitan.

“Selain itu, kita juga mengharapkan kesan limpahan positif seperti pekerjaan berimpak tinggi serta pindahan teknologi dan pengetahuan kepada ekosistem dalam industri berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Servis Kenderaan Petronas AutoExpert di Bandar Sri Sendayan pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PLMM, Hardeep Singh dan Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan Mara, Datuk Zulfikri Osman

Mengulas lanjut, Azizah berkata, PUMP dibangunkan untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing usahawan agar mereka lebih kompetitif di pasaran.

“Antara komponen yang dibangunkan melalui program ini adalah peningkatan imej bengkel dengan konsep terkini melibatkan penggunaan teknologi bersesuaian yang mampu menarik lebih ramai pelanggan.

“Usahawan di bawah PUMP ini juga dilengkapkan dengan beberapa siri latihan keusahawanan bagi memperkasakan mereka dengan ilmu pengetahuan yang sepatutnya. Malah modul bagi latihan ini telah kita rangka secara bersama dengan anak syarikat PDB, Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM),” jelasnya.

Beliau berkata, pengubahsuaian bengkel yang mengambil masa lebih kurang tiga bulan ini juga turut mendapat bantuan pembiayaan daripada Mara bagi usahawan yang memerlukan selain khidmat nasihat perniagaan yang disediakan oleh kedua-dua agensi ini.

“Program yang dibangunkan sejak awal tahun ini melibatkan 29 pengusaha bengkel kenderaan yang dipilih melalui proses temuduga dan konsep bengkel yang akan dibangunkan adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

“Setakat hari ini, seramai lapan daripada usahawan terpilih telah mengubahsuai bengkel kepada Petronas AutoExpert dengan jumlah pembiayaan yang disalurkan oleh Mara sebanyak RM6.45 juta,” katanya.

Tambahnya, seramai tiga daripada pengusaha tersebut telah berjaya mencapai nilai jualan lebih daripada RM2 juta dalam tempoh tiga bulan beroperasi.

Sementara itu, Hardeep berkata, program itu bukan sahaja memberi impak kepada usahawan automotif tetapi manfaat yang tinggi kepada pihak pengguna melalui tawaran perkhidmatan lengkap dan profesional dengan harga berpatutan daripada Petronas AutoExpert.

“Kerjasama ini merupakan pencapaian penting, hasil daripada perkongsian agensi awam dan swasta bagi merealisasikan pembabitan usahawan di dalam teknologi berimpak tinggi selaras dengan Dasar Automotif Nasional,” katanya.

Untuk rekod, Mara telah menyalurkan RM74.57 juta kemudahan pembiayaan perniagaan melalui skim Mara Integrated Smart Auto (MISA) kepada 52 usahawan dalam tempoh lima tahun ini.

Selain itu, Mara juga turut mengadakan sesi latihan serta program-program keusahawanan berkaitan kepada lebih daripada 4,000 usahawan dalam bidang yang sama.