PUTRAJAYA, 17 Dis – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Sesi Luar Biasa ke-17 Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Disember ini di Islamabad, Pakistan.

Mesyuarat Sesi Luar Biasa ini akan membincangkan langkah bagi mengurangkan kesan krisis kemanusiaan di Afghanistan dan mekanisme bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat dikoordinasikan dengan baik kepada rakyat Afghanistan.

Dalam satu kenyataan Wisma Putra pada Jumaat, Saifuddin juga dijangka akan menyampaikan kenyataan negara sewaktu mesyuarat berkenaan dengan mengetengahkan keazaman Malaysia untuk membantu situasi kemanusiaan di Afghanistan.

Beliau juga akan mengesahkan sokongan negara terhadap penyelesaian yang aman dan berkekalan demi kepentingan Afghanistan dan rakyat Afghanistan.

Sebagai ahli pengasas OIC, Malaysia jelasnya akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam semua inisiatif OIC demi kemaslahatan ummah.

Mesyuarat ini hasil seruan Pengerusi Sidang Kemuncak Islam OIC, Arab Saudi untuk membincangkan situasi kemanusiaan di Afghanistan.

Oleh yang demikian, Pakistan menawarkan untuk menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ini di Islamabad.

Dalam pada itu, Saifuddin juga dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Menteri Luar Negeri Pakistan sebelum Mesyuarat Sesi Luar Biasa bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama serta membuat kunjungan hormat ke atas Presiden dan Perdana Menteri Pakistan.

Mesyuarat Sesi Luar Biasa ini juga akan diadakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ketat yang telah diselaraskan oleh kerajaan Malaysia dan Pakistan.