KUALA LUMPUR, 18 Dis – Orang ramai diminta supaya berhati-hati dan mendapatkan informasi berhubung bencana banjir yang kini melanda enam buah negeri Malaysia.

Ketua Srikandi BERSATU Malaysia yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun memaklumkan sebanyak 108 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam buah negeri bagi menyediakan keperluan asas mangsa banjir di enam buah negeri tersebut.

“Saya meminta kepada semua rakyat supaya lebih berhati-hati dan sehingga kini dimaklumkan enam negeri yang terjejas akibat bencana banjir. PPS untuk mangsa banjir di Selangor kini sudah mencecah 3,000 orang.

“Manakala, PPS bagi negeri Pahang dan Kelantan sedang dibuka dengan banyak bagi membantu mangsa banjir. Saya mohon kepada semua rakyat, sekiranya ingin mengetahui mengenai pusat pemindahan sementara, boleh memuat naik aplikasi Bencana JKM.

“Aplikasi yang disediakan itu memaklumkan jumlah mangsa dan informasi PPS. Jumlah mangsa banjir kini sudah mencecah 5,486 orang,” katanya pada sidang media di Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi 2021, hari ini.

Setakat jam 4 petang tadi, seramai 5,486 orang mangsa banjir telah dicatatkan.

Untuk informasi lanjut mengenai PPS, nombor telefon bilik gerakan negeri Selangor (03- 55456856) manakala negeri Pahang (09-5650226),Kelantan (09- 7416925).