KUALA LUMPUR, 18 Dis – Tindakan Parti Warisan Sabah (WARISAN) melebarkan sayap ke seluruh negara menunjukkan parti itu tidak konsisten dalam perjuangan.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ketika WARISAN ditubuhkan, Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memaklumkan perjuangan partinya khusus kepada Sabah.

Katanya, kebanyakan parti politik hanya mengangkat perjuangan yang bersifat jangka pendek, berbeza dengan BERSATU yang konsisten dengan matlamat asal penubuhan.

“Kita tidak menyekat mana-mana orang untuk berjuang melalui politik masing-masing mengikut agenda masing-masing di seluruh negara.

“Namun, kita lihat ketika Mohd Shafie menubuhkan WARISAN, dia kata perjuangan parti itu hanya khusus kepada Sabah tapi hari ini, dia pula yang nak masuk ke Semenanjung.

“Ini bermakna WARISAN parti yang tidak konsisten dalam perjuangannya. Begitu juga dengan kebanyakan parti yang hanya berjuang jangka pendek.

“Jika lihat BERSATU, walaupun parti baharu, ia konsisten daripada asal penubuhan parti, iaitu perjuangan untuk membebaskan negara daripada masalah integriti,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Perhimpunan Agung Tahunan ARMADA dan SRIKANDI BERSATU di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Shafie yang memaklumkan WARISAN melebarkan sayapnya ke seluruh negara bermula semalam, dengan fokus menarik penyertaan keahlian daripada pelbagai kaum dan etnik.

Mohd Shafie dilaporkan berkata, berkata parti itu kini menjalin kerjasama dengan MUDA di Semenanjung, dan terbuka untuk membentuk gabungan dengan mana-mana blok sama ada Pakatan Harapan (PH) atau parti yang kini membentuk gabungan kerajaan.

Mengulas lanjut, Hamzah yakin peluang BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih terbuka, walaupun jumlah parti yang bersaing di Semenanjung semakin meningkat.

“Banyak mana pun parti yang akan bertanding dalam PRU akan datang, saya yakin rakyat akan menilai dari segi kepimpinan yang ada dalam setiap parti dan apa yang diperjuang.

“Saya yakin BERSATU dan parti komponen PN akan mengekalkan perjuangan kita membebaskan negara daripada segala masalah dengan meletakkan calon yang berkredbiliti dan tidak dipersoal dari segi integriti,” katanya.