KUALA LUMPUR, 18 Dis – Srikandi BERSATU mencadangkan supaya parti itu meletakkan 30 peratus calon daripada kalangan sayap itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, cadangan itu berdasarkan pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, apabila Perikatan Nasional (PN) berani mempertaruhkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya menang ketika itu.

“Ini menunjukkan kepimpinan wanita diiktiraf dan diberi kepercayaan memimpin negeri dan negara. Srikandi menaruh sepenuh keyakinan agar peranan wanita dalam politik dapat terus diperkasakan, digemilangkan lagi bagi memperkukuhkan proses libat urus bersama kaum wanita di negara ini.

“Justeru, saya dengan ini mencadangkan untuk PRU15 akan datang, 30 peratus calon mestilah datang daripada kalangan Srikandi bagi memperkasakan dan memartabatkan kepimpinan daripada kalangan wanita sepertimana keyakinan sama diletakkan terhadap sayap Srikandi di PRN Melaka baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Srikandi Waja Negara pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi kali ketiga bersempena Perhimpunan Agung Tahunan kali keempat BERSATU pada Sabtu.

Rina berkata, beliau turut menyokong penuh penubuhan sayap Srikandi Muda sebagai penggerak mendekati golongan beliawanis.

Beliau berkata, Srikandi Muda sebelum ini hanya merupakan sebuah biro wanita dalam kalangan beliawanis yang menjadi sukarelawan membantu program Srikandi.

“Sudah tiba masanya biro ini diangkat untuk menjadi salah satu sayap dalam parti Bersatu. Saya percaya sayap keempat ini pasti akan mengukuhkan lagi parti, membolehkan Bersatu terus terbang lebih tinggi dengan mendampingi golongan beliawanis menerusi program dan platform yang sesuai dengan usia mereka,” katanya.

Pada 16 Disember, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, penubuhan sayap Srikandi Muda akan melibatkan pindaan Perlembagaan Bersatu yang bakal dimuktamadkan pada perhimpunan kali ini.

Selain itu, Rina mengumumkan untuk mewujudkan Tabung Kebajikan Srikandi untuk membantu dan membela kebajikan para Srikandi dan sebagai permulaan, beliau menyumbangkan RM50,000 pada Sabtu untuk diagihkan kepada ahli Srikandi yang kehilangan suami dan sumber mata pencarian.