KUALA LUMPUR, 19 Dis – Sebanyak RM1 juta dana permulaan diperuntukkan bagi membantu mangsa banjir yang sedang melanda negara.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau juga mengarahkan semua jentera parti untuk turun padang membantu mangsa-mangsa terjejas.

“Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU pada hari ini kita teruskan kerana ini adalah kehendak dalam Perlembagaan Parti dan Akta Pertubuhan 1966. Namun, sebaik sahaja selesai perhimpunan ini, saya arahkan jentera parti untuk turun ke kawasan-kawasan yang terjejas untuk membantu mangsa banjir.

“Saya juga bersetuju supaya BERSATU melancarkan Tabung Bantuan Banjir 2021 dengan dana permulaan sebanyak RM1 juta untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

“Saya berdoa mudah-mudahan kita semua selamat daripada musibah banjir yang sedang melanda negara ini,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap di Persidangan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Keempat BERSATU yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia, hari ini.

Hujan yang masih tidak berhenti di kebanyakkan kawasan di ibukota membimbangkan banyak pihak.

Terdahulu, ARMADA turut melancarkan tabung banjir kilat buat mangsa banjir bagi meringankan beban mereka yang terkesan.