IPOH, 20 Dis – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak memilih Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar sebagai Ahli Dewan Negara.

Usul Pemilihan Ahli Dewan Negara itu dibawa oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad sempena Persidangan Ketujuh, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Isnin.

Pemilihan dibuat melalui undian bersurat yang diedarkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir pada persidangan.

Sebanyak empat calon dikemukakan iaitu bekas pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ahmad Termizi Ramli yang dicadangkan Datuk Asmuni Awi (Amanah-Manjoi); peguam, Nga Hock Cheh dicadang Loh Sze Yee (DAP-Jalong); Iskandar Dzulkarnain yang juga Pengerusi Malaysian Bioeconomy Development Corporation pula dicadang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (BERSATU-Chenderiang) serta Saarani (BN-Kota Tampan) yang mencadangkan Shamsuddin.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memaklumkan bahawa pemilihan dibuat secara undian bersurat dengan semua ADUN diberikan kertas undian bagi memilih dua daripada empat calon yang diumumkan.

Seramai 55 daripada 59 ADUN mengundi kecuali empat yang tidak hadir iaitu Datuk Samsuddin Abu Hassan (BN-Ayer Kuning), Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Bebas-Titi Serong) dan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta).

Keputusan undian itu, menyaksikan Iskandar Dzulkarnain menerima 34 undian, Shamsuddin (32 undi), Hock Cheh (22 undi) dan Ahmad Termizi (20 undi)

Pada persidangan DUN Perak yang bermula pada 10 Disember lalu itu, sebanyak enam usul dibentang dan diluluskan sebulat suara termasuk Belanjawan 2022 Perak.

Usul lain yang diluluskan termasuklah Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) (Pindaan) 2021, Usul Cadangan Pindaan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak, Usul Cadangan Penambahan Rujukan dan Bidang Kuasa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengkaji Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak, Usul Mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-Enakmen Negeri Perak Darul Ridzuan dan Usul Pemilihan Ahli Dewan Negara.