KUALA LUMPUR, 20 Dis – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membuka pusat pengumpulan semua bantuan sumbangan syarikat korporat, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Lokasi pengumpulan yang dibuka di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi itu beroperasi 24 jam sehari, dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata semua bantuan melalui YKN akan dikumpul di PLPP sebelum ia diagihkan kepada mangsa banjir di lapan negeri yang mengalami bencana itu sekarang.

Beliau berkata, langkah pembukaan pusat pengumpulan bantuan sehenti itu bagi memudahkan syarikat korporat, orang ramai dan NGO menghantar barang diperlukan mangsa banjir ke lokasi sah ditetapkan.

Katanya, sumbangan tunai pula boleh disalurkan melalui YKN di nombor akaun Alliance Islamic Bank Berhad 160140010004801 atas nama Yayasan Kebajikan Negara Malaysia dan setiap sumbangan wang tunai dikecualikan cukai pendapatan mengikut Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Orang ramai selalu bertanya cara untuk memberi sumbangan dan ke mana mahu dihantar barang keperluan bagi membantu mangsa banjir.

“Sekarang kita sudah buka satu pusat khas yang beroperasi 24 jam dan PLPP akan menyelaraskan semua bantuan diterima.

“Untuk sebarang pertanyaan berhubung sumbangan ini, boleh menghubungi Bilik Gerakan JKM di talian 03-83231996 atau Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam,” katanya selepas membuat tinjauan di PPS Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Seramai 83 mangsa banjir daripada 27 keluarga ditempatkan di PPS Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur Sabtu lalu selepas beberapa kawasan di sekitar Kampung Baru terjejas banjir.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, mangsa banjir di seluruh negara kini mencecah hampir 50,000 orang dengan 400 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai 5,000 PPS diwartakan di seluruh negara, namun untuk bencana kali ini, ada juga PPS baru dibuka berdasarkan keadaan mendesak yang memerlukan tambahan kemudahan itu.

“Kita berharap mangsa banjir di PPS mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan norma baharu seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita tidak memfokuskan mangsa banjir di PPS saja, malah yang masih berada di kediaman mereka juga menjadi keutamaan kami untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, mangsa banjir, Norisah Abu Bakar Sidek,68, berkata walaupun ini bukan kali pertama berdepan bencana itu, beliau tetap bersyukur dapat keluar daripada rumah selepas air memenuhi rumahnya pada jam 9 malam, Sabtu lalu.

Dia yang tidak dapat berjalan dan hanya terbaring ketika air memenuhi kediaman, diangkat anak lelakinya untuk dibawa ke PPS Kelab Sultan Sulaiman.

“Air naik cepat sekali dan saya hanya mampu melihat kerana tidak dapat berjalan.

“Ini bukan kali pertama banjir di Kampung Periuk, Kuala Lumpur, tetapi saya bersyukur diselamatkan anak yang tidak tinggal bersama dan menghantar saya ke PPS ini,” katanya.

Salasiah Md Saad, 35, pula berkata air naik begitu cepat dan hanya sempat mengambil barang penting, selain menyelamatkan anak yang masih kecil.

“Sejak lahir, kami sudah biasa berdepan banjir, namun bersyukur ditempatkan di PPS berhampiran rumah.

“Walaupun hari ini cuaca elok, saya masih tidak mempunyai kekuatan kembali ke rumah,” katanya yang memaklumkan air naik cepat sejak jam 6 petang Sabtu lalu.