PETALING JAYA, 21 Dis – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan bantuan khas sebanyak RM100,000 untuk Sahabat AIM terkesan dalam kejadian banjir

AIM dalam kenyataan memaklumkan, bantuan yang diberikan itu berupa bentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, makanan dalam tin dan lain-lain.

“Selain bantuan RM100,000 berkenaan yang akan disalurkan menerusi kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, AIM juga menyediakan tabung khas untuk Sahabat AIM yang dilanda musibah.

“Menerusi Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) berkenaan, ia membolehkan Sahabat AIM membuat tuntutan mengikut kadar ditetapkan jika terkesan dalam kejadian banjir ataupun kemusnahan kediaman,” kata kenyataan itu hari ini.

AIM memaklumkan seramai 9,206 Sahabat AIM di Selangor, Pahang, Kelantan, Sabah, Terengganu, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Johor terkesan akibat banjir besar itu.

“Sebahagian daripada mereka masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan tidak dapat menjalankan aktiviti ekonomi seperti biasa,” jelas AIM.

Terdahulu AIM memaklumkan Pengerusi AIM, Datuk Shabudin Yahaya serta beberapa pengurusan kanan AIM sempat meninjau keadaan Sahabat di PPS Tanjung Karang dan beberapa lokasi lain sebagai tanda prihatin dan melihat keperluan segera yang boleh disalurkan.