HULU LANGAT, 21 Dis – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang membuat penilaian bagi mengenal pasti kerosakan dan jumlah kerugian sebenar yang dialami oleh golongan petani, peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat bencana banjir.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, MAFI melalui jabatan dan agensi berkaitan telah dan akan menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa.

Menurutnya, ia termasuklah bantuan bekalan makanan (food basket) seperti beras, tepung, tin sardin, susu, minyak, telur dan sebagainya.

Selain itu, bantuan kilat juga diberikan kepada keluarga nelayan yang terkesan.

“Kerajaan sememangnya prihatin dengan mangsa banjir di seluruh negara dan setakat ini, kita telah menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta sebagaimana yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam usaha menangani impak banjir.

“Di bawah MAFI juga, terdapat bantuan yang diberikan mengikut jenis tanaman iaitu tanaman padi dan tanaman agromakanan bertujuan membantu meringankan beban yang dialami oleh petani yang terkesan akibat bencana alam,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah mengadakan lawatan ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Langat bagi meninjau kawasan yang terlibat bencana banjir.

Dalam lawatan tersebut, Ronald telah menyampaikan bantuan MAFI Prihatin membabitkan kira-kira 200 ahli PPK yang terkesan akibat banjir.

Antara PPK lain yang turut terjejas di Selangor selain PPK Hulu Langat termasuk PPK Klang, PPK Dengkil dan PPK Kuala Langat.

Sementara itu, MAFI bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah mengadakan aktiviti pembersihan bersama Kelab Sukan Dan Rekreasi (KSR) LPP Selangor dan Skuad AKRAB MAFI.

Ia turut disertai Timbalan Menteri MAFI 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

MAFI juga katanya, telah membuka Bilik Gerakan Banjir dan menggerakkan operasi di semua peringkat bagi membantu warga petani, peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Bilik Gerakan Banjir MAFI boleh di hubungi di talian 03-8870 1664/1491 atau e-mel bilikgerakan@mafi.gov.my untuk mendapatkan maklumat berkaitan pembukaan dan pengoperasian bilik gerakan bantuan banjir untuk sektor pertanian dan industri makanan.